KUALA LUMPUR, 16 Nov – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya disahkan meninggal dunia hari ini dipercayai akibat serangan jantung.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.
“Dengan rasa penuh hiba dan dukacita saya memaklumkan bahawa saudara Karupaiya A/L Mutusami, mantan Ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon Pakatan Harapan bagi P.017 Padang Serai telah meninggal dunia hari ini,
“Kali terakhir kami bertemu adalah pada 14 November lalu, di atas pentas ceramah di Kulim. Mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi PH,
“Mendiang saudara Karupaiya merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Cabang KEADILAN Padang Serai,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Karupaiya mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua berdepan saingan 6 penjuru apabila dicabar calon Barisan Nasional (BN), C Sivarraajh, Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional (PN), Hamzah Abdul Rahman (PEJUANG), Bakri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Sreanandha Rao.
Mengulas lanjut, Saifuddin mewakili seluruh keluarga KEADILAN dan PH, merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.
“Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan Reformasi,
“Jasa mendiang di Parlimen, kepada warga serta Cabang Padang Serai, dan juga kepada ATM terutama para veteran akan senantiasa dikenang,
“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang KEADILAN dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini,” ujarnya.
Pada PRU14, Karupaiya memperolehi 31,724 undi dan menewaskan calon daripada Pas dan Barisan Nasional dengan dengan majoriti 8,813 undi.-airtimes.my