Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rangka pelan operasi khas cegah jenayah rentas sempadan

APMM rangka pelan operasi khas cegah jenayah rentas sempadan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR , 5 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pertingkatkan kawalan keselamatan perairan negara menjelang hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus memberi fokus kepada kawalan keselamatan di persempadanan perairan negara seperti biasa.

Jelasnya, ancaman jenayah rentas sempadan mulai rancak memandangkan ekonomi negara kian pulih ketika ini.

“Dalam tempoh seminggu ini sahaja di pantai barat Semenanjung Malaysia terdapat beberapa tangkapan telah dilakukan APMM yang membabitkan cubaan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Selangor serta aktiviti penyeludupan dadah di utara perairan negara,

“Manakala di Sabah dan Sarawak terkawal dengan hanya terdapat sebilangan kecil kes perlanggaran undang-undang membabitkan komuniti tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya, juga telah merangka beberapa pelan operasi khas sebagai usaha mencegah aktiviti jenayah maritim tidak kira sama ada ianya bersifat domestik mahupun jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, APMM juga bersedia untuk melakukan tugas-tugas CARILAMAT sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 7 November 2022 hingga Mac 2023 seperti yang diramalkan Jabatan Meterologi Malaysia,

“Berhubung proses pengundian PRU-15, APMM diberi pilihan untuk menjalankan undi pos dan sebahagian kecil daripada pegawai dan anggota penguat kuasa akan membuang undi secara pos terutamanya bagi mereka yang bertugas di luar daripada kawasan undi masing-masing,

“Selebihnya akan membuang undi seperti biasa pada 19 November akan datang,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada komuniti maritim agar bersama-sama memastikan perairan negara selamat dengan membantu pihak berkuasa terutamanya APMM dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut dengan segera.

“Komuniti maritim juga diingatkan agar sentiasa meningkatkan tahap kesedaran keselamatan jika ingin melakukan sebarang aktiviti di laut ketika musim monsun ini,

“Selain menjalankan operasi penguatkuasaan, APMM juga komited dalam memastikan komuniti maritim selamat dan menasihati komuniti agar menangguhkan hasrat ke laut bagi menghindarkan diri daripada sebarang kecelakaan,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply