Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF tambah baik institut pendidikan untuk kecemerlangan anak warga, veteran ATM

MINDEF tambah baik institut pendidikan untuk kecemerlangan anak warga, veteran ATM

by Nurulhuda

MELAKA, 28 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serius dalam membantu anak-anak warga pertahanan termasuk veterannya mendapatkan perkhidmatan pendidikan berkualiti.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, MINDEF dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) telah melaksanakan 8 program dalam usaha memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak warga pertahanan terus berkesinambungan.

Menurut Hishammuddin, melalui insentif pertama, MINDEF akan melaksanakan Program Dermasiswa Premium untuk anak warga ATM dan veteran yang berjaya mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian ljazah Pertama di universiti di ranking 100 terbaik dunia.

Tambahnya, anak-anak warga ATM dan veteran yang berjaya itu akan menerima insentif RM5,000 secara one-off.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melaksanakan Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK) bertujuan membantu lebih 13,500 anak anggota ATM yang bersekolah di Sekolah Dalam Kem (SDK) dengan membuka akaun simpanan secara percuma di Tabung Haji.

Menerusi Program Sentuhan Elite SPM pula, anak-anak anggota ATM di SDK yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibantu meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik terutama mata pelajaran teras.

“Ia akan melibatkan kolaborasi antara guru-guru pakar serta cemerlang daripada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berpengalaman luas. Sejumlah RM150,000 akan diperuntukkan bagi membiayai program ini,

“Program Train and Place pula akan dilaksanakan khusus untuk anak-anak warga ATM dan veteran yang mempunyai kecenderungan dalam bidang berkemahiran terutamanya TVET,

“Manakala, Program Penajaan Asasi Sastera Bersama UNIRAZAK akan membolehkan membolehkan 2,500 anak veteran ATM mengikuti pengajian percuma di peringkat Asasi Sastera. Namun kini ia turut akan diperluaskan kepada anak warga ATM dan warga awam MINDEF,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut memaklumkan, MINDEF akan meneruskan pelaksanaan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM.

Ia akan melibatkan seramai 164 anak warga ATM yang memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM 2021 dengan terima insentif RM1,500 seorang secara one-off.

“Selain itu, MINDEF turut akan meneruskan bantuan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dimana seramai 64 anak warga ATM dipilih atas keputusan cemerlang yang melanjutkan pelajaran ke IPTA peringkat Ijazah Sarjana Muda dan akan terima insentif RM1,000 seorang secara one-off,

“Pemberian komputer riba kepada 150 orang anak warga ATM, anak warga awam MINDEF dan anak veteran yang telah mendapat tawaran pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA sesi akademik 2021/2022,

“Kesemua mereka akan menerima komputer riba percuma dengan kos keseluruhan berjumlah RM450,000,” tambah kenyataan itu.

Selain perancangan yang dinyatakan, Hishammuddin berkata, inisiatif Feri Sekolah turut diberi perhatian khusus, dimana ketika ini pihaknya sedang meneliti perancangan untuk menambah baik lagi kemudahan tersebut bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan anak-anak warga ATM.

“Kesemua perancangan ini membuktikan MINDEF dan ATM amat serius bukan sahaja untuk membantu anak-anak warga pertahanan mendapat perkhidmatan pendidikan yang berkualiti tetapi lebih penting memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak warga pertahanan terus berkesinambungan,

“MINDEF dan ATM akan terus duduk semeja dengan para pemegang taruh supaya banyak lagi idea serta pandangan untuk menambahbaik insiatif pendidikan ATM dapat diperhalusi bersama seterusnya dilaksanakan pada masa hadapan,

“Ini termasuklah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengenalpasti ruang-ruang kerjasama yang tidak hanya memanfaatkan anak-anak ATM tetapi juga pelajar awam lain di seluruh negara,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin telah mengadakan lawatan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, di Kem Terendak, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin; Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply