Home Pertahanan dan Keselamatan Poliklinik Kesihatan ATM di Seberang Takir bakal siap pertengahan tahun 2023

Poliklinik Kesihatan ATM di Seberang Takir bakal siap pertengahan tahun 2023

by Nurulhuda

TERENGGANU, 26 Sept – Kejayaan pembinaan Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertama di Kem Penrissen, Kuching menjadi kayu pengukur kepada penambahan fasiliti kesihatan tentera itu di seluruh negara.

Susulan kejayaan pembinaan poliklinik kesihatan tersebut, 4 lagi fasiliti kesihatan sama akan dibina di Seberang Takir, Terengganu; Sungai Petani, Kedah; Kluang, Johor dan Kuantan, Pahang bagi menjaga kebajikan anggota dan veteran tentera.

Kementerian Pertahanan menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz telah melawat ke tapak Poliklinik Angkatan Tentera di Seberang Takir untuk melihat sendiri proses pembinaan fasiliti kesihatan tersebut, hari ini.

“Poliklinik ini merupakan salah satu daripada 5 poliklinik dalam perancangan pembangunan di Kementerian Pertahanan berkaitan kebajikan di bawah kluster kesihatan,

“Sebuah poliklinik seumpama ini juga telah disiapkan di Penrissen Sarawak dan 3 lagi sedang dalam pelaksanaan antaranya di Sungai Petani, Kedah; Kluang, Johor dan Kuantan, Pahang,” jelas hantaran itu.

Menurut Kementerian Pertahanan, Poliklinik Angkatan Tentera di Seberang Takir ini dijangka akan disiapkan pada pertengahan tahun 2023 dan akan memberi manfaat bukan sahaja kepada warga ATM khususnya tetapi meliputi ahli keluarga serta veteren ATM.

Lawatan ini turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan, Mohd Radzuan bin Abdul Manaf; Pengarah Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Brigedier jeneral (Dr) Ghazali Mod Taha; dan Pegawai Memerintah Kem Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Para (18 Para) Leftenan Kolonel Moh Zaki Jusoh.

Pada Ogos lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah merasmikan Poliklinik Kesihatan ATM pertama di Kem Penrissen, Kuching yang dibina dengan kos RM28.4 juta.

Fasiliti kesihatan itu memberi manfaat kepada lebih 12,000 anggota ATM, keluarga mereka serta veteran tentera sekitar Kuching. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply