Home Semasa Kes rasuah VLN: Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan

Kes rasuah VLN: Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 23 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Mohd Yazid memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat oleh Mohd Yazid selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Ahmad Zahid, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi 7 lagi pertuduhan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply