Home Pertahanan dan Keselamatan Bila sebenarnya LCS akan siap? Hishammuddin wajib jujur

Bila sebenarnya LCS akan siap? Hishammuddin wajib jujur

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut terpalit dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab meskipun memegang portfolio berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, semasa sidang Dewan Negara pada 8 Ogos lalu, Hishammuddin menyatakan bahawa kapal tempur yang dianggap halimunan ekoran dari skandal kelewatan ini akan siap dalam ‘setahun dua’ lagi.

“Ini bererti bahawa kapal LCS sepatutnya diterima pada 2023 atau 2024,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Namun, baru-baru ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula telah menyatakan bahawa 2 LCS terawal akan diterima pada bulan Januari dan September 2026.

“Kapal seterusnya dijangka diterima pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Malaysia mempersoalkan mengapa wujud 2 tempoh masa yang bercanggah di antara Hishamuddin dan Jeneral Tan Sri Affendi?.

Untuk rekod, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah menyenaraikan 9 rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan 6 buah kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek 5 kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim turut mempersoalkan kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan memandangkan kapal LCS terawal akan diterima pada Januari 2026 dan bukannya tahun hadapan.

“Berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang mendedahkan surat syarikat BNS bertarikh 16 Julai 2019, bagi menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal LCS yang lewat daripada jadual, memerlukan anggaran tambahan kos sebanyak RM1.416 bilion,

“Iaitu terdiri daripada kos langsung berjumlah RM58.41 juta dan juga kos tidak langsung berjumlah RM1.358 bilion,

“Persoalan perlu dibangkitkan sekarang, adakah kemungkinan tambahan kos terjadi memandangkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima kapal LCS lebih lewat daripada 2024,” soalnya.

Tegasnya, Hishamuddin wajib menjawab persoalan-persoalan di atas dengan jujur meskipun beliau sebelum ini cuba menyalahkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ke atas kelewatan projek LCS.

Sebelum ini, Affendi memaklumkan, ATM akan menerima 2 buah LCS masing-masing dijangka diserahkan kepada TLDM pada Januari dan September 2026.

Affendi berkata, pembinaan kapal-kapal berkenaan telah berjalan bermula awal September melibatkan mobilisasi peralatan dari pengilang peralatan asli (OEM) dan subkontraktor tempatan.

Tambahnya, Kabinet pada April lalu telah membuat keputusan untuk meneruskan projek LCS ini kerana ianya aset yang sangat diperlukan oleh TLDM bagi memastikan kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara sentiasa terpelihara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply