TAIPEI, 11 Sept – Peningkatan belanjawan pertahanan Taiwan untuk tahun 2023 dilihat sebagai persiapan menghadapi peperangan.
Belanjawan pertahanan wilayah republik itu meningkat sebanyak 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut laporan media Taiwan, belanjawan sebanyak US$4.33 bilion (RM19.48bilion) menyaksikan peningkatan pembelian peluru dan stok persenjataan.
“Perolehan stok persenjataan dan peluru meningkat sebanyak 4 kali ganda berbanding tahun 2021 dengan nilai sebanyak NT$8 bilion (RM1.17 bilion),
“Pembelian ini dilihat sebagai persediaan Taiwan dalam menghadapi sebarang tindakan ketenteraan China dengan mengambil kira situasi tanpa sebarang bantuan dari luar,” lapor Taipei Times yang memetik felo Pertubuhan Polisi Kebangsaan Taiwan, Chieh Chung.
Jelasnya, belanjawan yang digariskan oleh Taiwan turut merangkumi baik pulih, pembelian peralatan, perolehan kelengkapan perlindungan diri serta persenjataan bagi pasukan tentera simpanan.
“Perbelanjaan turut merangkumi pembelian alat ganti aset, misil tambahan dan juga senggaraan aset pasukan udara serta laut Taiwan,” ujarnya.
Laporan itu turut menyebut China dijangka menyerang Taiwan pada tahun 2027. – airtimes.my