Home PolitikBarisan Nasional Tun Mahathir tidak pernah ‘move on’ dari UMNO – Khaled Nordin

Tun Mahathir tidak pernah ‘move on’ dari UMNO – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara berterusan menyerang UMNO bagi menutup kegagalannya mewujudkan pengganti kepada parti yang pernah diterajui beliau satu masa dahulu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Tun Mahathir tidak pernah ‘melepaskan’ parti itu kerana sering dihantui bayangan UMNO.

“Kenyataan terbaru Tun Mahathir tentang UMNO menunjukkan bahawa beliau terus dihantui UMNO pada setiap saat dan ketika. Jelas bahawa Tun Mahathir sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada UMNO,

“Tindakan melabelkan UMNO dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya dilakukan dengan satu motif yang jelas. Iaitu menutup kegagalan ketara beliau dalam mewujudkan alternatif kepada UMNO,

“Eksperimen Tun Mahathir dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebagai parti yang lebih baik, lebih bersih dan lebih Melayu dari UMNO nyata gagal,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya, hari ini.

Selepas dibelakangkan oleh Bersatu, Khaled menjelaskan, Tun Mahathir telah menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), yang juga dilihat gagal memberi kesan kerana tidak memenangi 1 pun kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

“Menyedari PEJUANG tidak mempunyai masa depan sendiri dan ditolak secara besar-besaran, maka Tun Mahathir gagaskan pula Gerakan Tanah Air (GTA),

“Tun Mahathir bergerak ke segenap tanah air mengutip mereka yang sebelum ini tidak pun beliau pandang dengan sebelah mata,

“Barangkali, setelah menyedari bahawa strategi tersebut juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, maka Tun Mahathir kembali kepada strategi asalnya iaitu menghentam dan menghina UMNO,” tegasnya.

Khaled juga mendakwa UMNO adalah parti yang menjadikan Tun Mahathir Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakannya setelah persaraannya.

“Sekeji mana pun UMNO pada kaca mata Tun Mahathir, UMNO sebenarnya tidak pernah melakukan apa yang Bersatu lakukan pada beliau,

“UMNO tidak pernah menikam beliau dari belakang. Tidak pernah,” ujar Khaled.

Dalam hantaran yang sama, Khaled turut berpendapat dengan kegagalan penubuhan Bersatu, PEJUANG dan yang kini GTA, Ahli Parlimen Langkawi itu seharusnya menyedari bahawa realiti politik zaman serta cara beliau sudah berakhir.

“Tun Mahathir harus sedar. Aspirasi PEJUANG telah berkubur sebelum ajal. Ia tidak menarik minat orang Melayu apalagi sokongan,

“Orang Melayu masih memilih UMNO. Parti ini mempunyai tarikan tersendiri kepada orang Melayu. Ia bukan tentang personaliti atau ketokohan tertentu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Khaled mengakui bahawa pemimpin UMNO bukan maksum dan masih banyak kelemahan dalam mentadbir negara.

“Saya sedar dan akuinya. Kami tidak akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik. Ada yang sohor, ada yang khilaf,

“Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu,

“Tetapi UMNO tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang UMNO itu korup dan keji,” tegasnya.

Selasa lalu, bekas Perdana Menteri itu menegaskan pemenjaraan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membersihkan UMNO daripada imej yang tercemar akibat gejala rasuah yang telah merebak ke peringkat akar umbi.

Tegasnya, pendirian dan sikap UMNO menunjukkan seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama seperti penubuhannya dahulu.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply