Home Pertahanan dan Keselamatan LCS: Rafizi cabar Latiff Ahmad saman jika laporan audit tak betul

LCS: Rafizi cabar Latiff Ahmad saman jika laporan audit tak betul

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 26 Ogos – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas),Datuk Dr Abd Latiff Ahmad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sekiranya pendedahan projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship,LCS) dibuatnya tidak benar.

Rafizi dalam satu kenyataan berkata, tindakan saman serta-merta juga perlu dibuat terhadap syarikat dan juruaudit yang terbabit untuk menyiasat projek LCS jika laporan itu tidak tepat.

Menurut Rafizi tidak ada gunanya untuk Dr. Abd Latif menyangkal tuduhan tersebut hanya di dalam media sosial sahaja.

“Apabila Dr. Abd Latiff hanya menafikan di Facebook itu bermakna beliau menuduh juruaudit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juruaudit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr. Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS,

“Penafian Facebook Dr. Abd Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr. Abd Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd,

“Penafian mudah (tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen) adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan UMNO dan bekas UMNO (yang kini dalam BERSATU),” kata Rafizi pada Jumaat.

BHIC adalah syarikat yang mengeluarkan laporan audit forensik projek LCS, manakala Alliance IFA (M) Sdn Bhd adalah juruaudit dilantik BHIC untuk menyiasat projek LCS.

“Jika Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta ke atas BHIC (tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS),

“Saman juga perlu ke atas Alliance IFA (M) Sdn Bhd (juru audit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS) dan saya (yang mendedahkan perkara ini),” tegasnya.

Terdahulu, Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan menafikan beliau mempunyai isteri bernama Zainab Salleh, individu yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS.

“Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” tegasnya di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata, tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam perniagaan melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS itu.

Pada Isnin lalu, Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya malah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu selepas Rafizi mendedahkan laporan yang mengaitkan beliau dengan skandal berkenaan.

Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Latiff.

Rafizi juga mendakwa, beberapa bukti penglibatan Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isterinya dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui laporan forensik projek LCS yang dinyahwarta pada Isnin.

Tambahnya, menerusi laporan audit tersebut, syarikat pembekal itu dimiliki Zainab, yang merupakan isteri kepada Latiff.

Beliau juga mendakwa siasatan dalaman LCS juga mengesahkan 2 syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply