Home SemasaGlobal UCAV, peluru berpandu jarak jauh antara perolehan pertahanan Jepun tahun 2023

UCAV, peluru berpandu jarak jauh antara perolehan pertahanan Jepun tahun 2023

by M.Daim

TOKYO, 23 Ogos -Kementerian Pertahanan Jepun telah menggariskan beberapa keperluan perolehan pasukan pertahanan Negara Matahari Terbit itu untuk tahun fiskal 2023.

Antara perolehan yang akan dilakukan adalah pembelian pesawat tanpa pemandu tempur (Unmanned Combat Aerial Vehicle, UCAV), kajian sistem persenjataan hipersonik dan penghasilan peluru berpandu jarak jauh pada skala besar.

“Kementerian Pertahanan Jepun rancang untuk memperolehi pesawat tanpa pemandu (UAV) yang bukan sahaja untuk pemantauan sahaja tetapi ia turut digunakan untuk operasi tempur,

“Perolehan UCAV adalah penting bagi memastikan Jepun sentiasa dalam berkedudukan baik dalam sesuatu peperangan,” lapor Nikkei Asia.

Selain itu, negara kepulauan itu turut memberi fokus kepada kajian dan pembangunan peluru berpandu hipersonik. Pada masa yang sama, Tokyo mahu mempertingkatkan keupayaan dalam membendung ancaman peluru berpandu hipersonik.

“Sistem persenjataan ini sedang dibangunkan oleh China, Korea Utara dan Rusia. Rancangan belanjawan pertahanan turut merangkumi perolehan sistem pertahanan untuk kapal pemintas peluru berpandu  yang dilengkapi dengan sistem Aegis,” kata laporan itu.

Sementara itu, Jepun mahu mempertingkatkan keupayaan serangan balas dengan menambah keupayaan peluru berpandu jarak jauh buatan sendiri.

“Ia bertujuan untuk menggempur sasaran dari jarak yang lebih jauh iaitu melebihi 1,000 kilometer. Peluru berpandu sebegini sedia untuk dihasilkan secara besar-besaran,” tambah laporan itu.

Kesemua perkara tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan perolehan US$40.7 bilion yang digariskan  oleh Jepun untuk  Belanjawan 2023 di negara itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply