Home Semasa Polis tumpas sindiket edar ganja dan syabu sekitar Lembah Klang

Polis tumpas sindiket edar ganja dan syabu sekitar Lembah Klang

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu yang didalangi oleh 6 lelaki serta seorang perempuan warga tempatan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek berjaya ditangkap menerusi 3 serbuan berasingan bersama dadah bernilai RM112,000 yang bergerak aktif dari Utara Semenanjung Malaysia dan Lembah Klang.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan Operasi OPHELIA pada 18 Ogos lalu bermula pukul 2.15 petang hingga 19 Ogos lalu pada pukul 10 malam di sekitar ibu negara.

“Dalam serbuan pertama, pada 18 Ogos jam 2.15 petang, JSJN menyerbu sebuah lobi hotel di Kampung Baru sebelum mencekup 3 suspek terdiri daripada 2 lelaki dan seorang wanita berusia 32 hingga 39 tahun serta tiada barang yang dirampas,

“2 lelaki yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan wanita tersebut negatif,” katanya.

Manakala, serbuan kedua pada jam 2.25 petang di bilik hotel di Kampung Baru berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama 1 kilogram (kg) ganja bernilai RM2,500 serta 958 gram syabu bernilai RM35,000.

Seterusnya, lanjutan daripada serbuan pertama dan kedua, JSJN telah menjalankan serbuan ketiga pada 19 Ogos jam 6.45 petang di kawasan parkir sebuah kondo di Jalan Ampang dan berjaya menahan 3 lelaki tempatan berusia 23 hingga 27 tahun.

“Rampasan telah dibuat iaitu sebanyak 30 kg ganja bernilai RM75,000 dan kesemua suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC),” ujarnya.

Beliau berkata, rampasan keseluruhan dadah jenis ganja adalah 31 kg dengan nilai anggaran RM77,500 dan 958 gram syabu bernilai RM35,000.

“Sindiket warga tempatan bergiat aktif sejak 4 bulan yang lepas ini menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Bekalan dadah diperolehi daripada negeri di Utara Semenanjung Malaysia dan dihantar ke Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar ibu negara,

“Semua suspek berkenaan tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan mengedar dadah sebagai punca pendapatan utama,

“6 daripada 7 tangkapan ini memiliki rekod lampau narkotik dan jenayah tidak pernah serik walaupun telah beberapa kali ditangkap,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua suspek telah direman selama 7 hari sehingga 26 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 63,916 orang pengguna dadah,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply