Home Pertahanan dan Keselamatan Dari 9 Menteri Pertahanan, siapa punca sebenar isu LCS? – Lim Kit Siang

Dari 9 Menteri Pertahanan, siapa punca sebenar isu LCS? – Lim Kit Siang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan siapakah Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) melibatkan kontrak bernilai RM9 bilion itu.

Beliau berkata, sejak tahun 1990, Malaysia mempunyai 9 orang Menteri Pertahanan dengan 2 daripadanya menggalas jawatan itu sebanyak 2 kali.

Lim turut menyenaraikan nama-nama Menteri Pertahanan bermula dengan Datuk Seri Najib Razak pada 1990 hingga penyandang terkini jawatan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Yang manakah daripada 9 menteri Pertahanan Malaysia sejak tahun 1990 ini yang bertanggungjawab ke atas skandal mega perolehan ketenteraan LCS yang melibatkan RM9 bilion?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Veteren DAP itu berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan ‘tidak adil’ untuk mengaitkannya dengan skandal LCS kerana dia bukanlah Menteri Pertahanan semasa kontrak berkenaan dimeterai pada 17 Julai 2014.

Justeru soal Lim, adakah Ahmad Zahid cuba menyalahkan Hishammuddin yang Merupakan Menteri Pertahanan selepasnya dari Mei 2013 sehingga Mei 2018.

“Hishamuddin masih belum mendedahkan apa yang dilakukannya sebagai Menteri Pertahanan sehingga Mei 2018 untuk memastikan proses perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan tidak berakhir sebagai satu bencana dan skandal kewangan,

“Namun dia mempunyai peluang sekali lagi sebagai Menteri Pertahanan untuk memperbetulkan kesilapan lampau untuk memastikan Malaysia akan menerima penghantaran keenam-enam LCS memandangkan tidak ada satu pun LCS yang telah siap walaupun pembayar cukai telah membayar sejumlah RM6 billion,” ujarnya.

Pada 4 Ogos lalu, Pengerusi Jawatakuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan jawatankuasa itu yang meneliti pengendalian projek LCS.

Laporan itu menjelaskan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

Tambah laporan itu, sehingga Ogos 2022 sepatutnya 5 buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata Ahmad Zahid tidak tidak boleh menafikan perkara yang tidak boleh dinafikan.

Jelasnya, sebagai Menteri Pertahanan pada Julai 2011, Ahmad Zahid telah mengubah keputusan yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menempah 6 buah LCS Sigma buatan Belanda.

Sebaliknya, Ahmad Zahid memilih pengeluar Scorpene untuk menempah LCS Gowind buatan Perancis dalam masa 3 hari sahaja tanpa merujuk kepada TLDM sebagai pengguna akhir.

“Surat Niat (LOI) perolehan ini dikeluarkan pada 16 Oktober 2010 dan Surat Penganugerahan (LOA) pula telah dikeluarkan pada 16 Disember 2011,

“Malah, LCS RM9 billion ini amatlah berpaksikan kepada kepentingan kontraktor dan bukannya pengguna akhirnya,

“Sehingga pihak TLDM tidak mengetahui langsung mengenai perubahan keputusan ini sehinggalah dimaklumkan oleh pihak kontraktor,

“Keputusan Zahid sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2011 dalam masa tiga hari untuk mengubah keputusan untuk memperoleh LCS Sigma kepada LCS Gowind masih menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah 6 dekad kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

Tambah Kit Siang, bukti terbesar yang menyebabkan Perdana Menteri Malaysia keenam, Najib Razak, tidak boleh menolak tanggungjawab ke atas skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini adalah kegagalannya untuk menafikan yang dia adalah ‘tangan tersembunyi’ di sebalik skandal LCS ini.

“Terdapat bukti mengikut keadaan yang kuat untuk mengatakan Najib adalah ‘tangan tersembunyi’ di sebalik skandal LCS ini, di mana dia menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika skandal ini berlaku,

“Sejarahnya menjadi Menteri Pertahanan 2 kali, ‘hubungan Perancis’ dia, dan juga dialah yang paling banyak bising selepas Laporan PAC diterbitkan,

“Namun, isu terbesar sekarang adalah sama ada Hishamuddin boleh menebus maruahnya semula selepas kegagalannya dalam penggal pertama sebagai Menteri Pertahanan dari 2013 hingga 2018,” kata Kit Siang.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply