KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Penemuan dan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan projek 6 Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bukan sahaja menjadi bencana kepada kewangan negara, tetapi juga malapetaka keselamatan negara.
Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, apa yang mengejutkan dalam laporan PAC ialah fakta bahawa reka bentuk LCS yang dipilih telah diubah oleh Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa persetujuan TLDM.
“Perubahan reka bentuk ini juga telah dipersetujui oleh Menteri Kewangan ketika itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Hatta yang juga Setiausaha Agung Amanah berkata, perubahan itu berlaku tidak sampai 2 bulan selepas Zahid sendiri bersetuju secara bertulis dengan cadangan TLDM menerima rekabentuk SIGMA, sejenis kapal tempur yang telah teruji prestasinya dan memenuhi keperluan perkembangan TLDM.
“Zahid kemudian merubah memilih rekabentuk GOWIND yang dicadangkan oleh kontraktor projek ini iaitu Barisan Nasional (BN),
“Perbandingan 2 reka bentuk ini jelas menunjukkan kelebihan SIGMA berbanding GOWIND, termasuk kos reka bentuk SIGMA lebih rendah berbanding GOWIND,
“Yang menarik juga dalam pengakuan Zahid, rekabentuk GOWIND adalah dicadangkan sama oleh syarikat DCNS dari Perancis (sekarang dikenali sebagai French Naval Group) yang telah membekalkan kapal selam Scorpene kepada kerajaan Malaysia sebelum ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Hatta menggesa Menteri Kewangan ketika itu memberi penjelasan atas keputusannya menyetujui perubahan reka bentuk tersebut yg dikemukakan oleh sebuah syarikat terkait perolehan kapal selam Scorpene.
“Bagi saya, di sinilah kontrak bernilai lebih RM9 bilion ini mula terdedah kepada ketirisan. Siasatan yang rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang disyorkan oleh PAC,
“Saya sebagai Ahli Parlimen Lumut dan Setiausaha Agung Parti Amanah menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyelongkar dengan jelas skandal kapal LCS ini,” tegasnya. – airtimes.my