Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas rokok seludup bernilai RM7.35 juta di Pelabuhan Klang

Kastam rampas rokok seludup bernilai RM7.35 juta di Pelabuhan Klang

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 11 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menahan sebuah kontena yang mengandungi 10.2 juta batang rokok seludup dalam satu serbuan di Pelabuhan Klang, pada 1 Ogos lepas.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 1.10 tengah hari itu, pihaknya telah merampas rokok seludup bernilai RM7.35 juta termasuk cukai.

“Kontena itu kemudiannya telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan rapi terhadap kontena tersebut telah menemui 1,021 masterclass rokok putih atau seludup yang disyaki tidak berkastam iaitu sebanyak 10.2 juta batang rokok,

“Semua rokok seludup itu bernilai RM816,800 dan melibatkan cukai RM6.542 juta, iaitu rampasan tersebut keseluruhannya membabitkan nilai RM7.35 juta,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam, di Bagan Jermal, pada Rabu.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kontena yang membawa muatan rokok seludup terbabit dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

Tambahnya lagi, ia turut diimport masuk oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur.

Tegasnya, rokok seludup itu dipercayai berasal dari negara Asia Timur berdasarkan dokumen yang diperolehi dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Abdul Halim berkata, modus operandi yang digunakan sindiket tersebut adalah dengan menyatakan syarikat terbabit membuat dagangan cendawan dalam tin dari hasil semakan rekod bil.

“Berdasarkan pemeriksaan pihak kami bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat yang mengimport kontena membawa rokok itu meragui termasuk alamat tidak betul malah kemungkinan menggunakan beberapa maklumat palsu,

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan kerana semasa serbuan hanya terdapat ejen perkapalan sahaja, namun saya percaya berdasarkan beberapa maklumat yang kami peroleh akan membawa ke arah penahanan suspek terlibat menyeludup rokok tersebut,

“Kes itu disiasat menurut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1) (e) Akta Eksais 1976,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply