Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Indonesia meterai MoU kukuh kerjasama pertahanan

Malaysia, Indonesia meterai MoU kukuh kerjasama pertahanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Malaysia dan Indonesia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mengukuh kerjasama pertahanan antara kedua negara yang lebih luas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU itu merangkumi 5 skop utama iaitu membabitkan perkongsian maklumat mengenai isu pertahanan.

“Kerjasama antara kedua-dua angkatan tentera di pelbagai peringkat termasuk pertukaran pegawai, pendidikan dan eksesais ketenteraan,

“Dialog dan rundingan dua hala mengenai isu pertahanan strategik serta ketenteraan berdasarkan kepentingan bersama,

“Kerjasama dalam bidang sains dan teknologi pertahanan serta dalam industri pertahanan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurutnya, beliau dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto akan terus memantau bersama bagi memastikan kesepakatan yang dimeterai dalam MoU ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kami juga telah mengarahkan supaya kepimpinan tertinggi Kementerian serta Angkatan Tentera di Malaysia dan Indonesia mempertingkatkan komunikasi serta pertemuan dengan rakan sejawat masing-masing,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Prabowo telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Ke-42 General Border Committee (GBC) Malaysia – Indonesia di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat GBC tahun ini sekali lagi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan pembangunan sosio-ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia dan Indonesia.

“Mesyuarat GBC tahun ini telah mencapai beberapa kesepakatan penting khususnya berhubung keselamatan dan pertahanan di sempadan termasuklah mempercepatkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Pos Gabungan Bersama (GABMA) melibatkan 7 pos di Malaysia serta 7 pos di Indonesia,

“Mengaktifkan semula patrol terkoordinasi darat, laut dan udara yang telah tertangguh disebabkan COVID-19, sebagai langkah memperkukuhkan hubungan kerjasama antara agensi keselamatan kedua-dua negara,

“Mewujudkan kerjasama keselamatan siber di bawah GBC MALINDO yang bertujuan membina jalinan hubungan kerjasama antara agensi siber Malaysia dan Indonesia serta meneroka inisiatif baharu dalam usaha untuk memelihara keselamatan data siber kedua-dua negara,” ujarnya.

Katanya, GBC ini turut dimanfaatkan bagi membincangkan dan mengambil maklum pelaporan kemajuan aktiviti-aktiviti operasi dan bukan operasi yang telah dilaksanakan di bawah seliaan High-Level Committee.

Manakala menerusi mesyuarat dua hala antara Hishammuddin dan Prabowo telah bersetuju supaya Latihan Gabungan Bersama Malaysia – Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan akan dilaksanakan semula pada tahun 2023 dengan berfokus kepada anti keganasan. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply