Home Pertahanan dan Keselamatan APMM patahkan cubaan suami isteri seludup 15kg syabu ke Indonesia

APMM patahkan cubaan suami isteri seludup 15kg syabu ke Indonesia

by Air Times News Network

MORIB, 6 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor mengagalkan cubaan menyeludup dadah ke negara jiran dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM670,000 berhampiran Pantai Morib, Kuala Langat pada 29 Julai lepas.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, rampasan dibuat ekoran penahanan 2 warga tempatan yang merupakan pasangan suami isteri pada 5.50 petang.

“Pasangan suami isteri itu sedang memindahkan dadah seberat 15.88 kilogram (kg) itu dari kereta ke sebuah bot pancung untuk dibawa keluar ke Indonesia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan awal pasukan operasi menemukan sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina jenama ‘Qing Shan’ berwarna hijau di dalam kenderaan yang digunakan pasangan itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88 kg dianggarkan bernilai RM670,000.

“Kedua-dua suspek berusia 44 dan 46 tahun itu ditahan, manakala semua bungkusan itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup, yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat,” ujarnya – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply