Home Pertahanan dan Keselamatan Op Kontraban: Polis tumpaskan sindiket seludup diesel, vape bernilai RM3.68 juta

Op Kontraban: Polis tumpaskan sindiket seludup diesel, vape bernilai RM3.68 juta

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya merampas pelbagai barangan kontraban dianggarkan bernilai RM3.68 juta dalam serbuan di Kajang, Selangor dan Johor Bahru, Johor dari 12 hingga 15 Julai lalu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, serbuan pertama pada 13 Julai dalam Operasi Kontraban di Kajang yang dijalankan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor berjaya merampas 25,306 kotak dan botol vape disyaki mengandungi nikotin.

“Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM2.7 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, pada 14 Julai pula, serbuan kedua Op Kontraban dilakukan CPSK di Johor Bahru berjaya menumpaskan satu sindiket yang terbabit dengan kegiatan menjual dan membeli semula minyak diesel bersubsidi.

“Dalam serbuan itu, seramai 6 lelaki tempatan ditahan serta sejumlah 45,997 liter minyak diesel, 4 lori, 5 tangki minyak diesel, pelbagai jenis dan peralatan telah dirampas,

“Nilai rampasan tersebut dianggarkan RM988,850 dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Kata Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Menurutnya, nilai rampasan kedua-dua serbuan tersebut yang bermula 12 sehingga 15 Julai RM3,688,850.55.

Katanya, PDRM akan terus komited dalam melaksanakan operasi membanteras sindiket penyeludupan kontraban dan barangan kawalan atau subsidi agar ketirisan hasil negara dapat dibendung demi kepentingan masyarakat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?