Home Semasa Hina agama: Pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse ditahan

Hina agama: Pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse ditahan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse bagi membantu siasatan mengenai insiden seorang wanita didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi berdiri di kelab itu, pada Khamis.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika hadir untuk memberikan keterangannya.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan mengenai penularan 2 klip video di sebuah kelab komedi, yang menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman,

“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” jelasnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Noorsiah menjelaskan, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 15 julai 2022 (Jumaat) bagi melengkapkan proses siasatan.

“Kertas siasatan polis akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya setelah siasatan dari segala sudut selesai dijalankan,

“Siasatan masih dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan,” ujarnya.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilapor berkata, operasi kelab komedi terletak di Taman Tun Dr Ismail itu digantung sementara kerana didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Beliau berkata, premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Terdahulu, isu kelab ini tercetus apabila satu video tular di media sosial berdurasi 54 saat yang mempaparkan seorang wanita bertudung dan mengaku menghafaz 15 juzuk Al-Quran, membuka tudung serta pakaiannya di dalam persembahannya di kelab tersebut.

Suspek, Siti Amira Abdullah telah dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply