Home Pertahanan dan Keselamatan 4 mayat lelaki ditemui terapung di perairan Johor Timur

4 mayat lelaki ditemui terapung di perairan Johor Timur

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 16 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan telah menemui 4 mayat lelaki tanpa identiti terapung di lokasi berbeza sekitar perairan Johor Timur, dalam tempoh masa 48 jam sejak Selasa.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, pihaknya telah menerima maklumat penemuan 2 mayat terapung daripada nelayan tempatan di perairan Pulau Lima, pada jam 12.15 tengah hari dan 1.10 petang pada Selasa.

Menurutnya, 2 mayat terbabit telah dinaikkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM) Sungai Musoh pada jam 4.30 petang pada hari yang sama.

“Manakala pada Rabu, seorang pemancing memaklumkan penemuan satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada jam 10.30 pagi,

“Seterusnya, MRSC Johor Bahru menerima laporan kedua penemuan mayat oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar sekitar jam 12.40 tengah hari,

“Kedua-dua mayat itu telah dinaikkan ke dalam aset APMM dan seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Najib berkata, keempat-empat mayat lelaki disyaki warga asing itu telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan seterusnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh salurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07–2199401 yang beroperasi secara 24 jam.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply