LYON, 16 Jun – Seramai 2,000 suspek ditahan kerana terlibat kegiatan penipuan dalam talian antarabangsa sepanjang 2 bulan lalu.
Pihak Interpol dalam satu kenyataan berkata, sebanyak US$50 juta turut dirampas dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan di seluruh dunia.
Menurutnya, Operasi First Light 2022 dilaksanakan pada 8 Mach hingga 8 Mei lalu.
“Operasi ini menyaksikan polis dari 76 buah negara terlibat dalam usaha antarabangsa untuk membanteras kumpulan jenayah terancang yang terlibat penipuan dalam talian,” kata kenyataan itu.
Jelas Interpol, antara operasi yang dilancarkan adalah serbuan terhadap pusat panggilan yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan beberapa lokasi lain yang telah dikenalpasti.
“Sehingga kini, lebih 4,000 akaun bank telah dibekukan dan US$50juta wang telah dirampas,” katanya.
Menurut Interpol, antara kejayaan yang direkodkan adalah penangkapan kumpulan yang terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian di Singapura dan penahanan dalang skim cepat kaya Ponzi warganegara China di Papua New Guinea.
Tambahnya, operasi ini bermula di rantau Asia Tenggara dan merupakan kali kedua melibatkan koordinasi antarabangsa. – airtimes.my