Home Pertahanan dan Keselamatan Artikel: Panji-panji lambang kemegahan Angkatan Tentera Malaysia

Artikel: Panji-panji lambang kemegahan Angkatan Tentera Malaysia

by M.Daim

Pada 10 Jun 2022, Istiadat Mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan buat pertama kali selepas negara dilanda wabak COVID-19. Ianya merupakan salah satu tradisi yang dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat ini dilaksanakan bagi menyatakan ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Panji-panji membawa maksud lambang yang dibawa oleh pasukan tentera khususnya dari infantri. Ia juga diguna pakai kepada lambang-lambang dan lencana-lencana tentera berkuda serta unit berkenderaan.

Kor Armor Diraja merupakan antara pasukan dalam Tentera Darat Malaysia yang telah dianugerahkan Panji-Panji oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Foto: Noor Azwan/Air Times

Protokol 

Bagi sesebuah pasukan tentera, panji-panji merupakan simbol kemuliaan setiap warga pasukan dan ianya mesti dipertahankan dari jatuh ke tangan musuh. 

Panji-panji amat disanjung tinggi dan diberi penghormatan yang mulia oleh setiap anggota tentera. Apabila ianya dibariskan, Panji-Panji akan dibawa oleh Pegawai Muda dan diiringi oleh 2 orang Sarjan Pengiring Panji-Panji.

Tetamu yang hadir dikehendaki berdiri dan anggota berpakaian seragam memberi tabik hormat sekiranya Panji-Panji yang dibariskan melintas di hadapan mereka.

Panji-Panji dikendalikan dengan penuh istiadat oleh anggota yang bertanggungjawab untuk mengarak dan mengiringi Panji-Panji Agong. Foto: Noor Azwan/Air Times

Panji-panji dalam lipatan sejarah dunia dan Islam 

Dalam sejarah konflik dan ketenteraan serata dunia, panji-panji digunakan oleh ketumbukan tentera. Tujuan ia digunakan adalah sebagai lambang kekuatan dan kuasa raja bagi satu pasukan . Ia turut dijadikan sebagai tanda kedudukan ketua atau panglima perang yang mengetuai pasukan.

Dari sudut Islam pula, panji-panji telah lama wujud iaitu sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w dan telah dibawa ke medan perang. Perkataan panji-panji turut disebut dalam hadis yang merujuk kehadiran Imam Mahdi. Perang Uhud dan Perang Mu’tah pula merupakan antara peperangan dalam sejarah Islam yang merekodkan kepentingan Panji-Panji untuk dipertahankan.

Istiadat Mengarak Panji-Panji Agong dilaksanakan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda. Foto: Qamarul/Air Times

Sejarah telah memperakui bahawa panji-panji adalah penting dalam mengekalkan semangat, moral dan identiti sesuatu pasukan tentera.

Di Malaysia, Panji-Panji merupakan suatu penghormatan negara, yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen atau Kor dari perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, perkhidmatan Tentera Laut dan perkhidmatan Tentera Udara.

Penganugerahan ini juga adalah simbolik untuk mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang oleh perkhidmatan dan pasukan kepada negara.

Antara panji yang diarak semasa Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong pada tahun ini adalah Panji-Panji yang dianugerahkan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Setiap panji yang dianugerahkan adalah berwarna kuning dan mempunyai Jata Malaysia pada bahagian tengah bendera serta dikelilingi oleh 2 karangan padi.

Lambang Perkhidmatan diletakkan pada penjuru kiri atas bendera manakala Rakaman Penghormatan Tempur disulam pada kiri dan kanan Lambang Diraja.

Battle Honour atau Penghormatan Tempur disulam pada bahagian kiri dan kanan Lambang Diraja. Lambang Perkhidmatan pula diletakkan pada penjuru kiri atas Panji-Panji. Foto: M Daim/Air Times

Penghormatan Tempur 

Penghormatan Tempur atau Battle Honours yang disulam pada kiri dan kanan Lambang Diraja merupakan tanda penghormatan kepada sesebuah pasukan. Nama peperangan yang melibatkan pasukan berkenaan akan disulam atau ditandakan di atas Panji-Panji pasukan.

Antara Penghormatan Tempur yang tercata di Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong adalah:

  • Tanah Melayu (1941-1942)
  • Singapura (1942)
  • Darurat (1948-1960)
  • Congo (1960-1963)
  • Konfrantasi (1963-1965)
  • Namibia (1989-1990)
  • Kemboja (1992-1993)
  • Somalia (1993-1995)
  • Bosnia Herzegovina (1993-1998)
  • Daulat Feb 2013 (2013)

Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu upacara yang sudah pasti menjadi lambang kemegahan negara dan juga ATM. Upacara sebegini merupakan salah satu identiti tersendiri Malaysia. Di samping itu, ia adalah salah satu penghormatan negara kepada ATM yang telah lama berkorban demi mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply