Home Pertahanan dan Keselamatan APMM lupus 249 bot Vietnam bernilai RM373 juta sejak 2007

APMM lupus 249 bot Vietnam bernilai RM373 juta sejak 2007

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cyt9Hcp4D6s[/embedyt]

 

PASIR PUTEH, 3 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan telah melupuskan sebanyak 249 buah bot nelayan Vietnam bernilai RM373 juta yang telah dilucut hak oleh mahkamah sejak tahun 2007 lalu.

Pengarah APMM Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab.Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 186 bot telah dilupuskan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di sekitar perairan Kelantan.

“Manakala bakinya, dilupuskan secara musnah pecah, bakar atau hadiah bergantung kepada keadaan bot,

“Kesemua bot-bot tersebut dirampas menerusi Op Damai dan Op Kuda Laut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pelupusan bot dengan menjadikan ia sebagai tukun tiruan merupakan manifestasi ketegasan APMM Kelantan dalam mengekang pencerobohan nelayan asing.

Beliau berkata, inisiatif tersebut mampu menggalakkan pertumbuhan biodiversiti marin yang menjadi penyumbang manfaat kepada komuniti golongan nelayan pesisir pantai.

Syed Nor Adli berkata, pada Khamis pihaknya telah melupuskan 3 buat bot Vietnam yang dilucut hak oleh mahkamah pada jarak 5.2 batu nautika daripada muara Kuala Besar, Kota Bharu.

“Penahanan 3 bot ini melibatkan tahanan ke atas 21 kru termasuk tekong yang merupakan warga Vietnam dengan melibatkan 500 kilogram ikan dan 9000 liter diesel termasuk peralatan navigasi serta peralatan menangkap ikan yang mana kesemuanya dianggarkan bernilai RM4.5 juta,

“Kesemua kru termasuk tekong disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,

“Tekong ketiga-tiga bot turut disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,” jelasnya.

Tambah Syed Nor Adli, proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply