Home Semasa Ops Halangan: 17 saman dikeluarkan di Jalan Temiang-Pantai

Ops Halangan: 17 saman dikeluarkan di Jalan Temiang-Pantai

by Nurulhuda

SEREMBAN, 1 Jun – Sebanyak 17 saman telah dikeluarkan dan tindakan dikenakan kepada pengguna jalan raya dalam Operasi Halangan di Jalan Temiang-Pantai, semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi hantaran di akaun Facebooknya memaklumkan, operasi yang dijalankan itu adalah bagi mengelakkan tindakan segelintir pengguna jalan raya yang berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan tersebut yang boleh mengundang bahaya semua pihak.

“Tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu Larangan Terhadap Halangan dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu Lorong Kecemasan yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalu lintas,

“Pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam,

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 bulan dan, dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya,” jelas hantaran itu.

Menurut hantaran itu, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Laluan Jalan Temiang-Pantai yang baru dibuka pada tahun lalu itu sering menjadi tarikan kepada pengguna lebuh raya untuk bergambar ekoran pemandangan sekitarnya yang cantik dan disifatkan ramai seperti di negara New Zealand. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply