Home Pertahanan dan Keselamatan Bersauh tanpa kebenaran, kapal tangki ditahan APMM

Bersauh tanpa kebenaran, kapal tangki ditahan APMM

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 22 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15.2 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, petang semalam.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Zanzibar, Tanzania itu ditahan dalam satu operasi rutin sekitar jam 1.45 petang.

Beliau berkata, kapal sepanjang 64 meter itu dikendalikan 8 kru lelaki warga Indonesia berumur di antara 25 hingga 59 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil semakan terhadap dokumen kapal mendapati nakhoda kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,

“Nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nurul Hizam menjelaskan, di samping melaksanakan Operasi Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan bersauh tanpa kebenaran, pihaknya turut terlibat di dalam Operasi Khas Pagar Laut bagi mengekang jenayah rentas sempadan sempena musim perayaan yang bakal menjelang.

“Orang ramai boleh membantu menyalurkan sebarang maklumat ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07 – 219 9401) atau talian kecemasan MERS 999,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply