Home Pertahanan dan Keselamatan Kabinet sebulat suara putuskan projek perolehan LCS diteruskan – Hishammuddin

Kabinet sebulat suara putuskan projek perolehan LCS diteruskan – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Mesyuarat Kabinet sebulat suara membuat keputusan untuk meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan, keputusan itu dibuat oleh Kabinet setelah mengambil kira 2 faktor utama.

“Pertama LCS sememangnya aset yang amat dimahukan dan diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara,

“Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran.

“Berikutan itu, Kabinet akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus khas yang bakal dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, jawatankuasa itu ditugaskan memantau secara dekat terutama proses dalam tempoh enam bulan dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet pada setiap bulan.

Hishammuddin pada masa sama turut menegaskan bahawa keputusan meneruskan projek LCS ini tidak bermakna pihak yang terlibat dalam salah laku projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja.

Malah, katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 2 ketua pegawai eksekutif sebelum ini dan SPRM juga digesa untuk mempercepatkan siasatan.

Katanya, perincian lebih lanjut tentang bagaimana projek ini akan diteruskan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply