ALOR SETAR, 20 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar negeri Kedah dan Perlis serta merampas 258 kilogram (kg) syabu dan ganja bernilai RM7.7 juta pada 16 hingga 18 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dilaksanakan oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis itu telah melancarkan 2 operasi yang melibatkan 5 serbuan di sekitar kawasan tersebut.
Beliau berkata, pihak polis juga berjaya menahan 9 suspek yang terdiri daripada lelaki tempatan berumur 31 hingga 52 tahun.
“Kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu dan ganja bagi pasaran tempatan,
“Operasi pertama yang dilancarkan pada 16 hari bulan tersebut berjaya menahan 4 suspek di Kepala Batas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Ayob menjelaskan, daripada tangkapan tersebut, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah kawasan perumahan di Sungai Petani dan berjaya menemui sejumlah dadah jenis syabu seberat 212 kilogram (kg).
Tambahnya lagi, operasi kedua telah dilancarkan pada 18 April jam 3.30 pagi dan berjaya menahan seramai 5 lelaki warga tempatan serta merampas sebanyak 5 kg dadah jenis syabu.
“Hasil kedua-dua operasi yang dijalankan berjaya merampas sejumlah dadah yang terdiri daripada syabu seberat 212 kg dan ganja 46 kg dianggarkan bernilai 7.7 juta,
“Sindiket ini telah aktif sejak pertengahan tahun lepas dan modus operandi yang digunakan adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah daripada Kelantan ke Kedah menggunakan laluan darat,” ujarnya.
Beliau mejelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek direman diantara 5 hingga 7 hari bermula 17 dan 18 April.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methaphetamine serta 4 daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“JSJN telah menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM423,000 yang terdiri daripada 7 kenderaan dan wang tunai RM4,000,
“Nilai keseluruhan dadah dan sitaan harta adalah RM8.1 juta,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, operasi tersebut telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja untuk pasaran tempatan terutama dari negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. – airtimes.my