Home Semasa Tiada syarat dos lengkap vaksin untuk terima Bantuan Khas Aidilfitri

Tiada syarat dos lengkap vaksin untuk terima Bantuan Khas Aidilfitri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada syarat lengkap dos imunisasi COVID-19 untuk kakitangan awam dan pesara kerajaan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022.

Beliau berkata, bantuan yang diumumkan pada 5 April lalu termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi COVID-19 yang lengkap.

“Susulan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022,

“Bagaimanapun perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, pengumuman awal sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi.

“Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir,

“Biarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi COVID-19 demi kesejahteraan bersama,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply