SEMPORNA, 11 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya mematahkan cubaan seludup keluar barang kawalan ke Filipina di sekitar laut Singamata, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Polis (DSP) Mohamad Ismail berkata, pihaknya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan berada dikawasan tersebut.
Beliau berkata, ketika anggota Polis Marin hendak membuat pemeriksaan ke atas bot berkenaan suspek telah bertindak melarikan diri.
“Suspek memecut ke kawasan bakau Kampung Tobo-Tobo namun usaha untuk mengesannya gagal berikutan kawasan berkenaan dipenuhi bakau serta gelap,
“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah menjumpai beberapa barang kawalan seperti 5 jeriken minyak petrol, 51 kilogram (kg) minyak masak, 12 kg gula, 12 paket tepung gandum serta 60 kg ayam sejuk beku,” jelasnya.
Menurutnya, semua barang kawalan tersebut dipercayai untuk diseludup ke Filipina.
“Barang yang dirampas telah dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut,
“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Jabatan Veterinar dan jumlah hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 31,685.75. -airtimes.my