Home Pertahanan dan Keselamatan DSA, NATSEC Asia dedah pengetahuan teknologi pertahanan kepada anggota ATM – Affendi

DSA, NATSEC Asia dedah pengetahuan teknologi pertahanan kepada anggota ATM – Affendi

by Air Times News Network

PENGANJURAN Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC Asia) 2022 yang melabuhkan tirainya semalam telah memberi pendedahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai teknologi pertahanan terkini dalam negara atau luar.

Pameran DSA dan NATSEC 2022 telah diadakan pada 28 hingga 31 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Acara yang berlangsung selama 4 hari ini telah disertai 54 negara melibatkan 1,000 syarikat berkaitan pertahanan dan keselamatan serta kira-kira 20 pavilion antarabangsa.

Pada edisi kali ini, meskipun pameran ini tidak dibuka kepada orang ramai, ia telah berjaya meraih seramai 33,147 pengunjung selain 305 delegasi kenamaan sepanjang 4 hari berlangsung.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ATM telah terlibat secara langsung dalam pameran DSA dan NATSEC Asia 2022.

Affendi berkata, pameran seperti ini memberi pendedahan kepada semua pegawai dan anggota ATM agar dapat melihat lebih dekat mengenai teknologi-teknologi pertahanan terkini.

“Jadi apa yang kita dapat daripada pameran seperti ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anggota ATM supaya dapat melihat perkembangan teknologi terkini,

“Pada masa sama, anggota juga dapat membandingkan teknologi-teknologi yang ada dari beberapa negara supaya mereka lebih lagi peka dan disamping menambah pengetahuan dalam bidang ketenteraan mengenai keupayaan aset terbaharu,” katanya semasa wawancara eksklusif bersama Air Times di Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 baru-baru ini.

Beliau berharap dengan adanya pameran DSA dan NATSEC ini, anggota ATM dapat melihat dan menilai sendiri lebih dekat mengenai teknologi terkini.

“Saya berharap dengan adanya pameran ini, teknologi-teknologi terkini yang dipamerkan dapat memberi satu perbandingan yang besar, supaya anggota ATM faham dan dapat menilai sendiri dimanakan kita berada,

“Dan apakah keperluan-keperluan yang mungkin ATM kehendaki untuk menentukan bahawa keupayaan kita terkini dan releven untuk masa sekarang atau masa hadapan,” ujarnya.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 adalah untuk memberi pendedahan kepada anggota ATM supaya dapat melihat perkembangan teknologi terkini – Panglima Angkatan Tentera

Ketika ditanya mengenai perolehan aset pertahanan, Affendi berkata, proses perolehan bukan mengambil masa yang singkat.

“Apa-apa perolehan yang kita lakukan mengambil masa seperti untuk melihat keupayaan yang kita kehendaki. Selepas itu baru kita melihat apakah, keupayaan yang boleh ditawarkan kepada kita,

“Selepas itu kita akan membuat perbandingan, yang manakah lebih sesuai dan pada masa sama harga yang berpatutan yang kita mampu,

“Jadi proses seperti ini mengambil masa, apabila ada pameran seperti ini, mungkin pada masa ini kita akan menandatangi memorandum persefahaman (MoU) ataupun kontrak, tapi proses-proses ini telah dilakukan setahun atau dua tahun sebelum ini,” jelasnya.

Pada penganjuran kali ini, Kementerian Pertahanan telah memeterai 54 kontrak dan persefahaman pertahanan bernilai RM4.6 bilion.

Jumlah itu membabitkan 20 surat setuju terima (LOA) berjumlah RM1.14 billion, 24 kontrak (RM3.32 billion), 7 surat niat (LOI) bernilai RM152.79 juta dan 3 MoU.

Penganjuran DSA dan NATSEC Asia seterusnya bakal berlangsung pada 6 hingga 9 Mei 2024. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply