Home Pertahanan dan Keselamatan Penganjuran DSA, NATSEC Asia 2022 catat kejayaan besar

Penganjuran DSA, NATSEC Asia 2022 catat kejayaan besar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Pameran serta Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 merekodkan seramai 33,147 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya sejak Isnin lalu, walaupun tidak dibuka kepada orang ramai.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pameran itu turut membabitkan 305 delegasi kenamaan serta penyertaan lebih 1,000 syarikat dan kira-kira 20 ‘pavilion’ (ruang pameran besar) antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran ini menjadi penanda aras bagi pameran berskala besar membabitkan delegasi antarabangsa yang akan diadakan pada masa depan.

“Pameran yang berlangsung selama 4 hari ini, adalah pameran berskala besar yang pertama diadakan selepas penularan wabak COVID-19,

“Sebagai antara 5 pameran terbaik yang diiktiraf dunia berkaitan keselamatan pertahanan, kami amat bimbang dan mahu penganjuran ini berlangsung dengan jayanya,

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh 4 hari pameran ini berlangsung, ia berjalan lancar dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan DSA dan NATSEC 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Tambahnya, selain daripada menunjukkan peralatan dan berdepan beberapa isu membabitkan ‘pavilion’ tertentu, yang lebih penting adalah perbincangan dijalankan secara bersemuka.

“Malah, kita kini dalam persediaan untuk penganjuran DSA dan NATSEC Asia seterusnya yang bakal berlangsung pada 6 hingga 9 Mei 2024,” ujarnya.

Sementara itu, Jonathan berkata, pihaknya sedang membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan Identiti Digital Nasional (IDN) yang akan menggunakan teknologi bagi menambah baik proses pemerolehan kewarganegaraan bagi pemohon layak.

“Ini adalah antara contoh pameran seperti DSA dan NATSEC Asia boleh dijadikan platform untuk peserta berhubung dan berbincang mengenai pelbagai masalah yang bukan hanya membabitkan Malaysia tetapi seluruh dunia,

“Kejayaan utama pameran berkenaan bukan bergantung pada organisasi, pembangunan dan program, ia juga tertumpu kepada sambutan peserta,” jelasnya.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 melabuh tirainya pada hari ini selepas dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada Isnin lalu.

Menurutnya, pameran pertahanan dan keselamatan dwitahunan ini dianggap sebagai satu acara yang penting kerana ianya memberi petunjuk bahawa Malaysia telah bersedia untuk membuka pintu sempadan negara bagi menarik pelabur antarabangsa. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply