Home Pertahanan dan Keselamatan Aset ATM tidak mampu tanggung bencana berskala besar – Ikmal Hisham

Aset ATM tidak mampu tanggung bencana berskala besar – Ikmal Hisham

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara umumnya tidak mencukupi bagi menampung bencana bersakala besar.

Beliau berkata, bagaimanapun Kementerian Pertahanan dengan persetujuan Kementerian Kewangan bersedia untuk terus melaksanakan perolehan aset pada setiap tahun bagi meningkatkan kesiagaan ATM sama ada bagi melaksanakan peranan utama menjaga keselamatan negara atau misi sekunder dalam memberikan bantuan semasa bencana.

Ikmal Hisham berkata demikian pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

“Dari aspek kelengkapan dan peralatan, perolehan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) adalah lebih memfokuskan kepada kelengkapan serta peralatan pertahanan,

“Walau bagaimanapun, sebahagian daripada kelengkapan dan peralatan tersebut juga boleh digunakan bagi tugas-tugas untuk menangani bencana alam,” katanya.

Katanya, antara peralatan tersebut adalah bot tempur, outboard motor (OBM), jaket keselamatan, trak 3 tan, trak 5 tan, trak 7 tan dan peralatan kejuruteraan medan seperti tipper, backhoe, excavator, bulldozer.

Manakala peralatan perubatan pula seperti peralatan pertolongan cemas, peralatan perlindungan diri, peralatan perubatan dan pembedahan untuk hospital medan.

Menurutnya, dalam aspek pengurusan bencana, TDM sentiasa bersedia untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam misi bantuan kepada mangsa bencana alam melalui pelbagai Kor dan Rejimen di bawah perkhidmatan TDM termasuk melibatkan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD).

“Dalam situasi bencana, RAJD berperanan memberikan bantuan sokongan dari aspek kejuruteraan medan seperti membina jambatan sementara (jambatan Compact Bailey), pembinaan laluan alternatif, pembersihan halangan serta bantuan penyediaan perkhidmatan penting seperti bekalan elektrik dan air serta telekomunikasi,” jelasnya.

Sementara itu, KKD pula berperanan memberikan bantuan perubatan kecemasan dan juga kawalan penyakit berjangkit bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pelaksanaan ini dilakukan dengan mengaturgerakkan tim perubatan hadapan dan membina hospital medan berdasarkan keperluan semasa,

“Ianya juga termasuk melakukan pembedahan kecemasan di lapangan sekiranya diperlukan,” tegasnya.

Terdahulu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat-PH) telah minta penjelasan peranan RAJD dan KKD sekiranya bencana berskala besar berlaku terutamanya di kawasan berhampiran dengan empangan, serta adakah peralatan atau kelengkapan TDM mencukupi. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply