ALOR SETAR, 15 Feb – Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana menjalankan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini di Bukit Kayu Hitam, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan bersama 19 PATI lelaki warga Myanmar pada jam 8.10 malam.
“Semasa intipan dijalankan, dikesan sebuah van berwarna putih berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan. Kemudian, muncul beberapa orang asing dari dalam semak secara tergesa-gesa masuk ke dalam van itu,
“Van kemudian memecut laju ke jalan besar dan pasukan serbuan berjaya menahan van tersebut di Kilometer 45 Lebuh Raya Utara – Selatan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun disyaki melakukan aktiviti menyeludup imigran.
“Sementara itu, sebanyak 19 lelaki warga Myanmar berusia 20-an hingga 40-an ketika diperiksa tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” tambahnya.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek pemandu van itu kini direman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan sehingga 12 Mac ini.
“Manakala kesemua suspek warga Myanmar pula direman di bawah Seksyen 51 (1) (5) (b) Imigresen 1959/63 selama 14 hari.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun,” tegasnya. -airtimes.my
