Home Pertahanan dan Keselamatan 8 PATI Indonesia termasuk bayi perempuan antara dicekup ketika baru mendarat

8 PATI Indonesia termasuk bayi perempuan antara dicekup ketika baru mendarat

by Air Times News Network

TAWAU, 8 Feb – ESSCOM dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) gagalkan cubaan 8 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyelinap masuk ke negara di Jambatan 2, Kampung Kurnia Jaya, tengah malam tadi.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, usaha PATI memasuki ke Sabah digagalkan melalui Radar Coastal Surveillance System (CSS) yang dikendalikan oleh MK ATB 2 yang mengesan sebuah bot dari luar sempadan memasuki perairan Malaysia.

“Bertindak atas maklumat, tim QRF telah diaturgerakan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan berjaya menahan 8 PATI yang baru mendarat di jambatan tersebut,

“Setelah kehadiran anggota disedari, bot dipercayai membawa PATI berkenaan bertindak melarikan diri dan berpatah balik ke sempadan perairan Indonesia selepas berjaya menurunkan kesemua PATI,

“Kesemua PATI tidak berjaya melarikan diri apabila tim QRF telah bertindak mengepung dan berjaya menahan kesemua PATI berkenaan, ujar beliau.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mereka merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

Abdul Karim berkata, mereka terdiri daripada 4 lelaki dan 3 wanita berusia 17 hingga 52 tahun serta seorang bayi perempuan berusia setahun.

“Tujuan utama memasuki Malaysia adalah bagi mencari peluang pekerjaan”, katanya.

Tambah beliau, kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi tujuan soal siasat, laporan polis serta proses saringan COVID-19.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply