Home Semasa PICKids: Malaysia terima 624,000 dos vaksin Pfizer untuk kanak-kanak

PICKids: Malaysia terima 624,000 dos vaksin Pfizer untuk kanak-kanak

by Air Times News Network

SUBANG, 28 Jan – Sebanyak 624,000 dos bekalan vaksin jenis mRNA Comirnaty®️ 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) telah diterima Malaysia di Kompleks Raya, Subang, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, penghantaran pertama ini akan digunakan bagi pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022 melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

“Pesawat TH383 milik Raya Air telah mendarat pada jam 7.15 pagi di Kompleks Raya, Subang,

“Perjalanan vaksin dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut dan DHL, peneraju dalam industri logistik,” katanya.

Menurut KKM, vaksin ini telah dibawa dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke Malaysia.

“Hari ini sebanyak 72 kotak Sotbox vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang. Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, WPKL, WP Putrajaya, WP Labuan Selangor, Kelantan dan Terengganu,

“Manakala di kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” ujarnya.

Tegas KKM, Proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam ULTF dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Transmile Cargo Kompleks Raya Subang.

“Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan,

“Vaksin COVID-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara,

“Ini termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Dengan ketibaan vaksin berkenaan, dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini.

“Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan,

“Manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi,” katanya lagi.

Sementara itu, KKM menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari 5 hingga bawah 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera.

“Sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera. Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka,

“KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka. Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” jelasnya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply