Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot tunda, tongkang bawa muatan berduti tanpa kebenaran

APMM tahan bot tunda, tongkang bawa muatan berduti tanpa kebenaran

by Nurulhuda

BINTULU, 28 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda berserta tongkang disyaki menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari muara Sungai Kemena, semalam.

Pengarah APMM Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, Kapal Maritim (KM) Renggis semasa melaksanakan Operasi Permai dan Operasi Benteng di sekitar perairan Bintulu telah mengesan sebuah bot tunda yang sedang menunda sebuah tongkang bermuatan disyaki Quarry Sand di lokasi tersebut sekitar jam lebih kurang 4.05 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda dan tongkang tersebut berlayar dari Kuching menuju ke Bintulu.

“Bot tunda tersebut disyaki beroperasi tanpa menggunakan dokumen kebenaran membawa barang berduti serta borang perlepasan pelabuhan yang telah tamat tempoh,

“Terdapat muatan bercukai yang disyaki Quarry Sand berjumlah lebih kurang 2,800 metrik tan berada di atas tongkang semasa diperiksa,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Khairol berkata, 4 kru bot tunda ditahan termasuk nakhoda terdiri dari seorang lelaki warga tempatan, 2 lelaki warga India dan seorang lelaki warga Indonesia.

Manakala tongkang pula dikendalikan 2 kru terdiri dari seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia.

“Kesemua kru bot tunda dan tongkang termasuk nakhoda berumur lingkungan 27 hingga 57 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap turut ditahan bagi membantu siasatan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel APMM Bintulu bagi siasatan lanjut,

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut kepada pasukan keselamatan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply