Home Semasa Sijil vaksinasi palsu: ProtectHealth tidak kompromi pengamal perubatan swasta, NGO langar SOP

Sijil vaksinasi palsu: ProtectHealth tidak kompromi pengamal perubatan swasta, NGO langar SOP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jan – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta polisi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ProtectHealth menerusi kenyataannya berkata, kenyataan itu dikeluarkan susulan beberapa laporan media berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu di beberapa negeri baru-baru ini.

“ProtectHealth menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,

“Ia adalah langkah berjaga-jaga dan bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin,

“ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, semua pengamal perubatan swasta (PPS) di bawah ProtectHealth adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah KKM.

Tambahnya, ia adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO Kesihatan adalah sahih serta termaktub dalam Akta yang berkaitan.

“PPS dan NGO Kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi serta menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan KKM,

“Audit rawak akan dilakukan ke atas PPS secara berskala bagi memastikan setiap PPS dan NGO mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta jika terdapat sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, tindakan menggantung PPS dan NGO Kesihatan dari menjalankan vaksinasi dalam PICK,

“Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menjelaskan, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO Kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera.

“Semua vaksinasi akan direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin,

“ProtectHealth tidak bertolak ansur sekiranya terdapat PPS dan NGO Kesihatan di bawah kami didapati mempunyai sebarang salah laku yang berkaitan dengan aktiviti seumpama ini dan akan memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa sekiranya PPS dan NGO Kesihatan kami didapati terlibat,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply