Home Pertahanan dan Keselamatan Kesiagaan TLDM memuaskan, tapi tidak capai sasaran ditetapkan – Panglima

Kesiagaan TLDM memuaskan, tapi tidak capai sasaran ditetapkan – Panglima

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini menegaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memenuhi sepenuhnya keperluan operasi perairan di seluruh negara.

“TLDM telah berjaya memenuhi 100% keperluan operasi, yang merangkumi 7 Operasi Rutin, dan 3 Operasi Berkala, di Armada Barat, dan Armada Timur, serta Operasi Benteng di bawah kendalian National Task Force (NTF),

“Pencapaian ini membuktikan Armada TLDM sentiasa siap siaga dan mampu memenuhi setiap tugasan yang diberikan,” kata Panglima Tentera Laut dalam Perutusan Tahun Baru 2022 yang disiarkan secara langsung oleh TLDM.

Pada masa yang sama, Mohd Reza menegaskan  masih terdapat banyak ruang dan usaha yang perlu dipertingkatkan bagi memastikan kesiagaan aset TLDM untuk mencapai tahap yang terbaik.

“Secara purata, kesiagaan aset kita masih berada di tahap yang memuaskan sahaja dan belum mencapai sasaran yang telah ditetapkan,

“Justeru, masih terdapat banyak ruang dan usaha yang perlu dipertingkatkan bagi memastikan kesiagaan aset kita mampu mencapai ke tahap yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Reza turut menyatakan pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memastikan aset TLDM yang berdaya tahan yang berkemampuan untuk memenuhi keperluan operasi.

Antaranya Program Repowering dan Obsolescence Programme (OP) kepada aset-ase sedia ada.

“Program Repowering telah dilaksanakan ke atas 5 buah kapal dan 3 bot tempur, di mana hasil pelaksanaannya telah berjaya meningkatkan keupayaan kuasa gerak aset tersebut, ke tahap yang jauh lebih baik,

“Selain itu, pelaksanaan OP ke atas KD PERKASA telah bermula pada 4 Ogos 2021 dan dijangka siap pada 31 Mei 2022,

“Program OP ini seterusnya dirancang untuk dilaksanakan ke atas KD PERDANA dan KD GANYANG pada pertengahan tahun ini,

“Program-program ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi Armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara,” ujar beliau. – airtimes.my

Leave a Reply