Home SemasaGlobal Kazakhstan dakwa hadapi serangan hibrid pengganas

Kazakhstan dakwa hadapi serangan hibrid pengganas

by M.Daim

NUR-SULTAN, 10 Jan – Setiausaha Negara Kazakhstan, Erlan Karin mendakwa kekacauan yang berlaku di negaranya pada minggu lalu merupakan serangan hibrid pengganas bagi menumbangkan kerajaan Asia Tengah itu.

Menurut beliau, serangan tersebut dilancarkan dari dalam dan luar Kazakhstan.

“Kami berhadapan dengan serangan pengganas secara hibrid yang bermatlamat untuk menimbulkan kekacauan dan merampas kuasa kerajaan,” kata Erlan yang dipetik oleh Sputnik.

Beliau menambah, selain protes dan serangan bersenjata, Kazakhstan turut berdepan dengan peperangan maklumat yang didalangi oleh pihak tertentu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara Kazakhstan menyatakan 2 kumpulan ekstremis yang bertanggungjawab di sebalik rusuhan besar-besaran di negara itu telah berjaya ditumpaskan.

“Pihak keselamatan telah melancarkan operasi mencari dan menahan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini,

“2 sel pengganas yang terlibat dalam rusuhan di Almaty telah berjaya dihapuskan,” kata Majlis Keselamatan Negara Kazakhstan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ketua salah satu sel pengganas yang merupakan warga asing telah berjaya ditahan.

“Individu terbabit telah datang ke Kazakhstan bagi melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap pasukan keselamatan,

“Rakan subahat beliau sedang dijejaki oleh pihak berwajib,” kata kenyataan itu.

Pada 2 Januari lalu, Kazakhstan berhadapan dengan protes besar-besaran  yang bertukar menjadi ganas dalam masa beberapa hari.

Bangunan kerajaan serta fasiliti tempatan telah diceroboh dan dimusnahkan oleh pihak protes.

Kerajaan Kazakhstan turut mengesahkan 2 anggota tentera negara itu telah maut dipenggal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Lantaran daripada itu, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev telah meminta bantuan dari negara rakan anggota Collective Security Treaty Organization (CSTO) untuk menghantar pasukan pengaman ke negaranya.

Tokayev sebelum ini mendakwa kira-kira 20 ribu orang pengganas terlibat dalam beberapa kejadian serangan di Almaty.

Keadaan dilaporkan kembali pulih semalam namun operasi membanteras pengganas masih lagi dijalankan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply