Home Semasa COVID-19: Doktor antivaksin jual sijil vaksin palsu dicekup

COVID-19: Doktor antivaksin jual sijil vaksin palsu dicekup

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 10 Jan – Polis Terengganu telah membongkarkan kegiatan penjualan sijil digital vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu selepas menahan seorang doktor klinik swasta di Marang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tangkapan terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun sebuah klinik swasta di Marang itu dilakukan selepas menerima maklumat orang awam berhubung aktiviti tersebut.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September lalu selepas premisnya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi COVID-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

“Perkhidmatan penipuan sijil vaksinasi ini dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian termasuk melalui e-mel,

“Berdasarkan soalsiasat awal, suspek mengakui merupakan golongan antivaksin, malah turut melantik ejen dengan membayar komisen sebanyak RM50 bagi setiap satu sijil palsu yang dikeluarkan,

“Sebahagian besar pelanggan dipercayai merupakan golongan yang menolak pengambilan vaksin, tetapi memerlukan sijil vaksinasi atas keperluan pergerakan merentas negeri dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksinasi, komputer riba, telefon dan lain-lain serta akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan akan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menilai dan membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera individu terbabit,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, PDRM memandang serius isu berkenaan keranan ia bukan sahaja disyaki terlibat dalam kes penipuan tetapi tindakan tersebut juga boleh membawa bencana kepada masyarakat umum yang terdedah kepada penularan wabak COVID-19.

Rohaimi turut mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat mengeluarkan Sijil Vaksinasi palsu kepada pelanggan demi mengaut keuntungan agar menghentikan tindakan yang melanggar etika ini.

“Mana-mana pihak yang mengeluarkan sijil vaksinasi palsu perlu hentikan segera kerana pihak polis bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan meneruskan operasi memburu pihak-pihak yang menjalankan aktiviti jenayah ini di negeri ini,

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti seperti ini di negeri ini adalah diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM Terengganu supaya tindakan lanjut dapat diambil demi kesejahteraan semua,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply