Home Semasa Kerajaan tangguh sementara perjalanan umrah mulai 8 Januari

Kerajaan tangguh sementara perjalanan umrah mulai 8 Januari

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 1 Jan – Kerajaan menangguhkan sementara perjalanan mengerjakan umrah berkuat kuasa 8 Januari berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 2,763 kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kalangan jemaah yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

“Sebanyak 1,446 kes positif dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi, diikuti oleh Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes), dan United Kingdom (217 kes),” katanya.

Menurut beliau, sehingga 30 Disember 2021 , seramai 11,108 jemaah yang tiba di Malaysia, 1,306 daripadanya telah dikesan positif COVID-19.

“592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif COVID-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin,

“Pada 31 Disember 2021, 2 lagi kes COVID-19 disahkan Omicron serta menjadikan jumlah keseluruhan varian ini adalah sebanyak 64 kes,” ujarnya.

Menurut Khairy, daripada 64 kes jangkitan COVID-19 varian Omicron, sebanyak 32 kes telah dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

Tambahnya lagi, sehingga 30 Disember 2021, terdapat 9 kluster yang berlaku dikalangan jemaah umrah iaitu 5 kluster melibatkan kes-kes varian Omicron, 1 kluster kes indeks Presumptive Omicron dengan menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS) dan 3 kluster kes positif bukan varian Omicron.

KKM menasihatkan semua jemaah yang baru pulang dari tanah suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah atau kediaman supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply