Home SemasaGlobal Pandang enteng isu perkauman punca kejatuhan Kesatuan Soviet – Mikhail Gorbachev

Pandang enteng isu perkauman punca kejatuhan Kesatuan Soviet – Mikhail Gorbachev

by M.Daim

MOSKOW, 27 Dis – Gagal melakukan pembaharuan dan menangani isu perkauman antara etnik menjadi punca kejatuhan negara Kesatuan Soviet (USSR).

Bekas Presiden Kesatuan Soviet yang terakhir, Mikhail Gorbachev mendedahkan bahawa USSR sebenarnya mempunyai peluang untuk bertahan lebih lama semenjak penubuhannya pada 1922.

“Pada ketika itu, pihak kerajaan gagal melihat isu perkauman serta hubungan antara pemerintahan pusat dan negara-negara republik sebagai satu masalah yang serius,

“Malah, Moskow mengambil masa yang terlalu lama untuk menyedari bahawa USSR memerlukan pembaharuan,” katanya dalam satu wawancara eksklusif agensi TASS.

Menurutnya, beliau telah mencadangkan pembentukan Kesatuan Negeri Berdaulat (Union of Sovereign States, USS) sebagai langkah pembaharuan dan meneruskan legasi USSR. Pada masa yang sama, rancangan tersebut akan mengatasi masalah yang dikenalpasti oleh pihak pemerintah pusat di Moskow.

“Matlamat utama penubuhan USS adalah membentuk kesatuan yang terdiri daripada negara-negara republik merdeka yang pernah bernaung di bawah USSR,” jelas Gorbachev.

Kesatuan yang dicadangkan adalah berlandaskan corak pemerintahan persekutuan di mana negara-negara bernaung di bawah USS mempunyai bidang kuasa tersendiri.

“Negara-negara bernaung di bawah USS akan menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),

“Pada masa yang sama, kuasa USSR di Majlis Keselamatan PBB masih kekal seperti sebelumnya,” ujarnya.

Mikhail Gorbachev mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Presiden Kesatuan Soviet pada 25 Disember 1991.

Beliau menambah, penubuhan kesatuan baharu itu akan membawa lebih banyak kebaikan berbanding pemansuhan USSR.

Namun begitu, cubaan rampasan kuasa selama 3 hari pada akhir Ogos 1991 telah menutup peluang negara kuasa besar itu untuk terus kekal dalam persada global.

USSR merupakan negara komunis berkiblatkan fahaman sosialis Marxist. Ia ditubuhkan pada tahun 1922, beberapa tahun selepas pemansuhan sistem pemerintahan beraja.

Sepanjang penubuhannya, USSR memainkan peranan penting dalam kempen Perang Dunia ke-2 di Eropah dengan menawan Berlin pada awal Mei 1945.

Selepas tamat Perang Dunia ke-2, perbezaan ideologi USSR dengan negara Barat telah mencetuskan Perang Dingin.

Mikhail Gorbachev merupakan Presiden USSR  yang terakhir sebelum negara kuasa besar itu dibubarkan secara rasmi pada 31 Disember 1991 selepas 70 tahun ditubuhkan.

Terdapat 15 negara dibentuk selepas kejatuhan USSR  iaitu Russia, Ukraine, Georgia, Belorussia, Uzbekistan, Armenia, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Turkmenistan, Tajikistan, Latvia, Lithuania, dan Estonia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply