Home Pertahanan dan Keselamatan Kehadiran trak putih UN tiada kaitan dengan bencana banjir

Kehadiran trak putih UN tiada kaitan dengan bencana banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Video beberapa buah trak 3 tan United Nations (UN) yang tular di media sosial tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam satu kenyataan menjelaskan video berdurasi satu minit tersebut sebenarnya memaparkan proses Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test, FAT) yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jelasnya, ujian dijalankan terhadap kesemua trak tersebut sebelum ia dihantar ke Lubnan bagi kegunaan pasukan pengaman Kontinjen MALBATT 850.

“Penularan video berdurasi seminit memperlihatkan pergerakan beberapa trak 3 tan mempunyai UN serta berwarna putih atas keterlibatan pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia,

“Video yang ditularkan melalui akaun Facebook peribadi atas nama Jong Senow dan Nazimah Ibrahim, masing-masing pada 24 dan 7 Disember 2021 adalah tidak benar sama sekali,” jelas Affendi.

Pada masa yang sama, beliau menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan berita palsu kepada masyarakat.

“Masyarakat diminta agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan perkara yang tidak pasti kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat,

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh di dakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply