Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, MINDEF perkasa Op Murni, pertingkat bantuan pasca banjir

ATM, MINDEF perkasa Op Murni, pertingkat bantuan pasca banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuhkan Operasi Murni (Op Murni) di negeri-negeri yang terjejas banjir terutama pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dalam pasca banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu antara 4 perkara yang diputuskan dalam mesyuarat beliau bersama kepemimpinan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan, hari ini.

“Hasil mesyuarat memberi tumpuan kepada 4 perkara, iaitu memantau dan menerima laporan operasi semasa, memperkukuh operasi sedia ada serta memperhebatkan lagi bantuan pasca banjir,

“Selain itu, pihaknya juga akan memperincikan dan membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Hishammuddin menjelaskan, Kementerian Kewangan (MoF) turut meluluskan pembelian kecemasan 55 unit bot jenis Outboard Motors (OBM) untuk kegunaan ATM.

“Saya juga menerima laporan berhubung situasi yang mana bot-bot ATM terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan-kawasan yang terjejas,

“Susulan itu, MINDEF berhubung secara terus dengan MoF bagi membuat pembelian kecemasan 55 unit Outboard Motors (OBM). Alhamdulillah, permohonan ini telah diluluskan oleh pihak MoF,” jelasnya.

Menurut Hishammuddin, perancangan ATM seterusnya di kawasan terjejas banjir adalah untuk meningkatkan lagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk pencegahan penularan wabak COVID-19.

Tambahnya, ia selari dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, semalam bahawa ATM akan menambah jumlah anggota kepada 500 orang, khusus untuk membantu kerja-kerja pembersihan.

“Saya juga ingin mengulangi komitmen ATM yang akan terus berada dalam kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gelombang kedua banjir,

“1 Batalion telah diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan,” tambahnya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau akan membantu dan memastikan ATM serta Kementerian Pertahanan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan khas pasca banjir dan persediaan gelombang kedua seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Tegasnya, sehingga semalam, ATM sudah mengatur gerak 998 pegawai dan anggota dari seluruh perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Sebanyak 96 aset pelbagai jenis termasuk trak 7 tan, trak 3 tan, trak 1 tan, bot tempur, Outboard Motors (OBM), helikopter EC725 dan ‘back hoe’ ke setiap negeri yang terjejas banjir termasuk Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka,

“ATM juga berjaya memindahkan 32,661 mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, Putera Raja Arab Saudi, Putera Turki, Mohammed Fahd Abdulaziz Al Saud telah menawarkan bantuan kepada Malaysia.

“Saya juga ingin memaklumkan, pagi tadi saya telah dihubungi oleh Yang Amat Mulia Putera Turki Mohammed Fahd Abdulaziz Al Saud, Putera Raja Arab Saudi,

“Beliau telah menyatakan hasrat untuk membantu usaha kami bagi menyediakan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply