Home Pertahanan dan Keselamatan APMM buru 12 warga Indonesia rompak diesel berjumlah RM4.86 juta

APMM buru 12 warga Indonesia rompak diesel berjumlah RM4.86 juta

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 21 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini sedang memburu 12 kru kapal Indonesia selepas disyaki melakukan rompakan 1.8 juta liter minyak diesel bernilai RM4.86 juta pada 5 Oktober lalu.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung kecurian melibatkan kapal tangki MT Ocean Pride yang berdaftar di Singapura.

“Mereka ialah Haryadi Tri Tomi nombor pasport B9706316, Mangalik Despiandri (C7309394), Nordiansyah Muhammat (C1366351), Pasaribu Suherri Nanda (C2081744), Pinem Jendri (C6787829) dan Prasetyo Agung (C7021189),

“Turut diburu Saputra Pandu Prasetya (C7573439), Siddiq Muhammad (C7309737), Silaban Rusman (B5670491), Syahputra Haloho Maraek (C7307752), Tarigan Harry Pranata (C7308182) dan Yusran (C3899964),

“Kesemua mereka diburu bagi membantu siasatan kes Kapal Tangki MT Ocean Pride yang terbabit dalam kesalahan mengikut Seksyen 380m dan Seksyen 34, Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Nurul Hizam menjelaskan, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali penama-penama berkenaan diminta menghubungi Komander (M) Mohd Affandi Ismall (03-89957935) Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat APMM, Putrajaya atau Leftenan (M) Mohd Feerdaus Daud (Pegawai Penyiasat 07 8916595) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim ibu pejabat APMM Johor atau ke pejabat APMM berhampiran.

Pada 5 Oktober lalu, Kapal MT Ocean Pride (IMO 9055565) berdaftar di Cook Islands dalam pelayaran dari Singapura menuju ke Dili East Timor bersama dengan 12 kru warganegara Indonesia.

Pada jam 1 tengah hari, APMM telah menerima laporan awam berkaitan kapal tersebut yang disyaki berlaku cubaan rompakan di kedudukan 23.6 batu nautika timur, Tanjung Siang, Johor.

Hasil pemeriksaan oleh aset APMM di lokasi mendapati, kapal tersebut ditinggalkan tanpa kru dan kargo diesel beranggaran 1,800,305 liter diesel bersamaan RM4,860,823.50 juga telah di curi daripada kapal tersebut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply