Home Semasa COVID-19: Kementerian Kesihatan kesan 181 kes positif di PPS

COVID-19: Kementerian Kesihatan kesan 181 kes positif di PPS

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 181 kes positif COVID-19 hasil saringan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di 6 negeri di Semenanjung.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga jam 11 pagi hari ini, sejumlah 117 kes dikesan di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Kuala Lumpur (4) dan masing-masing 1 kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau menjelaskan, kebanyakan kes positif COVID-19 berada dalam kategori 1 dan 2, serta telah dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan lain termasuk PPS khusus untuk individu yang disahkan positif COVID-19.

“KKM telah menjangkakan peningkatan kes ini berkemungkinan ekoran keadaan pemindahan yang terpaksa dibuat dalam keadaan yang sangat berisiko tinggi. Mungkin ada langkah-langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat pada Isnin.

Khairy turut menjelaskan, pihaknya memahami isu dalam menyelamatkan mangsa banjir, dimana keutamaan adalah usaha menyelamat mereka yang terjejas.

“Kadangkala, memang tidak dapat dielakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam, ia tidak dapat dipatuhi,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan terdapat 206 kes kontak rapat COVID-19 dan individu-individu berkenaan telah dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau ke hospital.

Tambahnya, KKM telah bersiap-sedia dengan kemungkinan akan berlaku peningkatan kes COVID-19 disebabkan beberapa langkah kesihatan awam yang memang tidak dapat dipatuhi akibat banjir.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga telah memaklumkan kepada semua negeri untuk mempertingkatkan sistem kesihatan awam susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply