Home Semasa PRN Melaka: 476,037 orang layak mengundi Sabtu ini – SPR

PRN Melaka: 476,037 orang layak mengundi Sabtu ini – SPR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang mengundi secara pos.

Menurutnya, pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my.

“Semakan juga boleh dibuat di aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018,

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin berkata, SPR melalui aplikasi MySPR Semak turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang,

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, dan mereka perlu sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti,” tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama, Ikmalrudin menasihatkan pengundi agar membawa kad pengenalan dan catat maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi dibuat serta membantu kelancaran proses pengundian.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini,” ujarnya.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan 4 Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply