Home Semasa COVID-19: Jepun sumbang peralatan penyimpanan vaksin bernilai RM6 juta

COVID-19: Jepun sumbang peralatan penyimpanan vaksin bernilai RM6 juta

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 15 Nov – Kerajaan hari ini telah menerima sebanyak 184 peti sejuk, 1,343 kotak pendinginan dan 1,579 pencatat data yang bernilai lebih RM6 juta bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan vaksin COVID-19 di dalam negara.

Sumbangan tersebut telah dilaksanakan melalui Kerjasama Teknikal Malaysia dan Jepun yang diselaraskan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan berkata, peralatan yang disumbangkan ini dapat membantu menampung keperluan penyimpanan vaksin COVID-19 sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan telah diserahkan kepada fasiliti bermula pada bulan September 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah menerima sumbangan berkenaan yang diserahkan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi dan Senior Representative JICA Malaysia, Fukazawa Shinsaku, dalam satu majlis penyerahan rasmi yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

“Kerajaan Jepun melalui JICA telah menyumbang sejumlah 184 unit peti sejuk, 1,343 unit kotak pendinginan (cold box) dan 1,579 unit pencatat data (data logger) yang telah diagihkan ke fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia,

“KKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Jepun dan mengalu-alukan kerjasama ini di masa hadapan,” jelasnya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Puan Norhaliza A Halim; Setiausaha Kedua, Kedutaan Jepun, Saito Yuta dan Kaunselor Ekonomi Kedutaan Jepun Hosomi Masashi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply