Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 kapal asing bersauh tanpa kebenaran

APMM tahan 2 kapal asing bersauh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 14 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah menahan 2 buah kapal kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam in Zakaria berkata, kedua-dua kapal tersebut telah ditahan di kedudukan 11.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang dan 8.3 batu nautika timur Tanjung Balau di antara jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang.

Menurutnya, kapal pertama merupakan kapal tangki yang berdaftar dari Panama dikendalikan 5 kru warga Indonesia dan Myanmar berumur di antara 20 tahun hingga 38 tahun.

“Manakala, kapal kedua merupakan kapal kargo berdaftar dari Cyprus, dikendalikan 20 kru warga Filipina dan Ukraine berumur di antara 21 tahun hingga 49 tahun,” jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.

Nurul Hizam menjelaskan, kesemua kru kedua-dua kapal mempunyai pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Namun, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal serta kru telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah,” jelasnya.

Tambah Nurul Hizam, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara walaupun berdepan cabaran monsun di perairan Johor Timur.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply