Home Pertahanan dan Keselamatan PGA rampas 76 karton rokok seludup di Batu Pahat

PGA rampas 76 karton rokok seludup di Batu Pahat

by Air Times News Network

BATU PAHAT, 11 Nov – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup dianggarkan bernilai RM11,323.40 susulan penahanan seorang lelaki di Jalan Putera Indah pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, suspek warganegara tempatan berumur 25 tahun ditahan ketika memandu sebuah kereta di Jalan Putera Indah jam 3.00 petang

“Pemeriksaan telah dilakukan ke atas kereta tersebut dan menemui beberapa barangan seludup,

“Antara barangan yang berjaya dirampas adalah 25 karton Canyon Merah; 9 karton Canyon Hijau; 8 karton John Blend; 6 karton John White; 6 karton John; 7 karton John Blast; 2 karton DJ Ice Plus; 2 karton DJ Black Edition; 2 karton Gudang Baru dan 2 karton John British yang masing-masing 20 batang,

“Turut dirampas 3 karton Luffman dan 4 karton Impact Diplomat yang masing-masing 16 batang,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut Dimin, antara barangan lain yang dirampas adalah anak kunci, sebuah Iphone XS Max dan kenderaan jenis Proton Iswara.

“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai aktif membekalkan rokok seludup ke kedai-kedai runcit di sekitar kawasan Batu Pahat,

“Anggaran nilai rokok ialah RM2,683.60 manakala nilai cukai ialah RM11,323.40,” ujarnya.

Dimin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM20,897.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply