Home SemasaGlobal Kapal selam terlanggar objek asing di Laut China Selatan, anak kapal cedera

Kapal selam terlanggar objek asing di Laut China Selatan, anak kapal cedera

by M.Daim

PEARL HARBOR, 8 Okt – Kapal selam berkuasa nuklear Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), USS CONNECTICUT (SSN 22) dilaporkan mengalami pelanggaran di bawah permukaan laut semasa melakukan pelayaran di rantau Indo-Pasifik.

Pihak Armada Pasifik (Pacific Fleet) US Navy dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 2 Oktober.

“Kapal selam kelas SEAWOLF, USS Connecticut telah berlanggar dengan objek semasa melakukan pelayaran di bawah permukaan laut pada 2 Oktober lalu,

“Kejadian berlaku di kawasan perairan antarabangsa rantau Indo-Pasifik,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, kapal selam terbabit berada dalam keadaan stabil dan beroperasi dengan baik.

“Sistem pendorong nuklear tidak terjejas,” katanya.

Jelas Pacific Fleet US Navy, tahap kerosakan pada kapal selam dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, CNN memetik sumber yang melaporkan kejadian berlaku di kawasan perairan Laut China Selatan.

“Beberapa orang anak kapal USS Connecticut mengalami kecederaan ringan berikutan kejadian itu,” katanya.

USS Connecticut merupakan kapal selam berkuasa nuklear kelas Seawolf. Ia dibina pada tahun 1991 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan US Navy pada 11 Disember 1998.

US Navy mengoperasikan sebanyak 3 buah kapal selam kelas ini. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply